Kemalal : Cerita 1

24/06/2016 | | Tiada sebarang ulasan setakat ini.

Penyata bil elektrik terkini sudah sampai, terselit di celah pagar pintu. Kemalal segera membuka bil yang tersimpul. Matanya segera mencari jumlah yang harus dibayar, tercetak di bahagian bawah penyata.
Tiba-tiba hati Kemalal panas.
"Apasal bil bulan ni banyak sangat?", jerit Kemalal di dalam hati. Kebiasaan bil-bil sebelum ini, cuma kurang lebih RM30 sahaja, paling tinggi pun RM35. Yang terbaru ni, dekat-dekat RM70! Hampir dua kali ganda! Biar betul TNB ni!
Sebelum ini, Kemalal ada terbaca di Internet tentang rungutan pengguna-pengguna yang menerima jumlah bil lebih tinggi dari biasa, terutamanya mereka yang ada menggunakan pendingin hawa di rumah. Maklumlah sekarang ini musim El-Nino, cuaca lebih panas dari biasa. Mestilah pendingin hawa bekerja lebih keras dari biasa. Kemalal cuma gelak dalam hati dengan rungutan mereka. "Padan muka! Pakai aircond memang la banyak pakai letrik. Lagi-lagi tengah musim panas ni!" Kemalal fikir dia tidak akan dapat bil mahal macam mereka, kerana dia cuma pakai kipas sahaja di rumah.
Rupanya-rupanya Kemalal pun terkena juga!
Kemalal mundar-mandir di ruang tamu. Dalam hati, dia mencarut-carut pada TNB. "Huh! Kena komplen kat Facebook TNB penipu ni! Aku pakai kipas je, bukan ada aircond! Mana boleh dapat bil tinggi macam ni! C****a betullah TNB ni!"
Kemalal mula mengarang ayat-ayat mencarut yang hendak ditulis di laman Facebook TNB. Dia membelek-belek penyata tadi, cuba mencari ilham.
Kemudian matanya tertumpu kepada satu baris tulisan:

Tunggakan           RM 33.45

"Leee... bulan lepas punya tak bayar lagi."
Hati Kemalal sudah tidak panas lagi.

No comments:

Post a Comment