Apa yang menarik tentang 'Haramain Backpackers' ini kalau dibandingkan dengan rancangan-rancangan travelog lain? Pertamanya, rancangan ini merakam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah secara 'backpacker'. Tak biasa kita dengar orang pergi umrah secara 'backpacker', kan? Jadi ini satu kembara umrah yang lain dari yang lain.
Keduanya; rasa saya sebelum ini mana-mana rancangan travelog terbitan tempatan belum pernah ada yang menelusuri laluan Trans-Siberian. 'Haramain Backpackers' kiranya yang pertama, jadi kita bukan setakat dapat melihat tempat-tempat menarik di sepanjang laluan Trans-Siberian, malah dapat juga melihat bagaimana keadaannya menaiki keretapi Trans-Siberian.
Cerita di sebalik tabir pengembaraan 'Haramain Backpackers', boleh anda baca dalam 'Berhenti Kerja Untuk Mengembara Bawa Saya Lakukan Penggambaran ‘Haramain Backpackers’ Ke Tanah Suci' yang ditulis oleh saudara Ahmad Safuan selaku penerbit rancangan ini. Agak panjang dan bergambar, saya sendiri membaca sekali lalu, tetapi ada banyak butiran yang boleh dijadikan panduan kepada yang ada hajat mengembara melalui Trans-Siberian.