Haramain Backpackers Trans-Siberian

10/09/2016 | | Tiada sebarang ulasan setakat ini.

Seronok saya menonton rancangan travelog 'Haramain Backpackers : Trans-Siberian'. Ini satu rancangan yang merakam perjalanan Amin dan Mat Dan ke Mekah untuk berumrah melalui laluan Trans-Siberian (26 bandar, 11 negara, 5 zon masa, jumlah jarak 29,000 km). Jauh sungguh melencongnya.
   Apa yang menarik tentang 'Haramain Backpackers' ini kalau dibandingkan dengan rancangan-rancangan travelog lain? Pertamanya, rancangan ini merakam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah secara 'backpacker'. Tak biasa kita dengar orang pergi umrah secara 'backpacker', kan? Jadi ini satu kembara umrah yang lain dari yang lain.
   Keduanya; rasa saya sebelum ini mana-mana rancangan travelog terbitan tempatan belum pernah ada yang menelusuri laluan Trans-Siberian. 'Haramain Backpackers' kiranya yang pertama, jadi kita bukan setakat dapat melihat tempat-tempat menarik di sepanjang laluan Trans-Siberian, malah dapat juga melihat bagaimana keadaannya menaiki keretapi Trans-Siberian.

Laluan Trans-Siberian, Dalam 'Haramain Backpackers', Amin dan Mat Dan akan melalui Beijing (China), Ulan Bator (Mongolia), Irkustk Baikal, Kazan dan Moscow (Rusia), Bosnia, Croatia, Albania, Budapest (Hungary), Istanbul (Turki) dan kemudian ke Haramain ( Makkah & Madinah). Sumber peta: http://www.baikalcomplex.com

   Ketiganya; Mat Dan. Pertama kali saya tonton Mat Dan, memang rasa pelik sangat. Macam mana boleh ada Orang Putih fasih cakap Melayu, dalam loghat Terengganu pula? Mat Dan ni dah kembali kepada Islam, sudah berapa lama saya belum dapat periksa. Tapi dengar dia sebut kalimat macam 'Alhamdulillah', elok dah lancar sebutannya. Sudah lamalah agaknya. Dan saya perhatikan gaya Mat Dan, macam dah veteran dalam hal mengembara 'backpaker'. Memang sesuai sangatlah untuk rancangan ini.
   Cerita di sebalik tabir pengembaraan 'Haramain Backpackers', boleh anda baca dalam 'Berhenti Kerja Untuk Mengembara Bawa Saya Lakukan Penggambaran ‘Haramain Backpackers’ Ke Tanah Suci' yang ditulis oleh saudara Ahmad Safuan selaku penerbit rancangan ini. Agak panjang dan bergambar, saya sendiri membaca sekali lalu, tetapi ada banyak butiran yang boleh dijadikan panduan kepada yang ada hajat mengembara melalui Trans-Siberian.

No comments:

Post a Comment